
SIBU: Kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh pembangunan luar bandar secara inklusif dan berterusan menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan di seluruh negeri.
Ketua Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin yang juga Exco Pemuda Pusat Parti Rakyat Sarawak (PRS), Nyireng Saleh berkata, usaha tersebut diterajui kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menumpukan pembangunan menyeluruh merangkumi aspek digital, pendidikan, kesihatan serta pemilikan tanah.
Menurutnya, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang membuka lebih banyak peluang ekonomi digital kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
“Selain itu, peluasan capaian internet menerusi Sarawak Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar (MySRBN) dan inisiatif JENDELA turut dilaksanakan bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap sektor pendidikan melalui pelbagai bantuan kepada pelajar luar bandar seperti pemberian komputer riba, baucar buku serta bantuan kewangan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih saksama.
Dalam sektor kesihatan pula, katanya, kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia terus diperkukuh melalui pembinaan dan naik taraf klinik, penyediaan klinik bergerak serta penambahan tenaga perubatan di kawasan luar bandar.
Mengulas lanjut, Nyireng berkata Sarawak kini berada pada landasan kukuh sebagai peneraju ekonomi digital negara, dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak yang giat melaksanakan latihan serta pembangunan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam menangani isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan pengukuran perimeter dan lot individu secara sistematik oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi melindungi hak pemilik tanah adat.
“Adalah tidak tepat untuk melabelkan sistem sedia ada sebagai lemah tanpa mengambil kira pelbagai inisiatif serta pencapaian yang telah direkodkan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas dakwaan Ketua Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Jerry Robert yang menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan sistem sedia ada yang didakwa masih gagal memenuhi keperluan rakyat luar bandar, khususnya dalam sektor pendidikan, kesihatan, digital dan tanah NCR.
Nyireng menegaskan, Pemuda PRS akan terus menyokong kerajaan sebagai rakan strategik bagi memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif, mampan serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak.
Oleh Tarani Lanting