
KUCHING: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Penrissen, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 4.26 pagi berhampiran stesen minyak di Batu 7, satu kemalangan berlaku yang mengakibatkan seorang individu meninggal dunia, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Sentosa bersama lima anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi kira-kira 4.32 pagi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza yang terbabas di bahu jalan.

Seorang mangsa telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa didapati masih tersepit di dalam kenderaan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Shahrul Qaizat