KOTA SAMARAHAN: Projek pembangunan sosioekonomi di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) berjumlah RM1.5 bilion siap sepenuhnya pada 2023.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini merangkumi infrastruktur untuk pertanian khususnya taman agro yang kini sedang dilaksanakan dengan lancar.
“Terdapat 519 projek sedang dilaksanakan di bawah IRSDA pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.
Tambahnya, antara projek tersebut adalah 161 projek infrastruktur yang memakan belanja sebanyak RM452 juta.
“Selain itu, untuk 343 projek pesisir pantai, ban, sungai dan perparitan (RM841 juta) manakala enam projek pembangunan pertanian (RM103 juta) dan sembilan projek pelancongan (RM100 juta),” ujarnya.
Sementara itu, di bawah Projek Rakyat, Kerajaan Sarawak telah meluluskan 30 projek untuk bahagian tersebut dengan kos keseluruhan RM221.03 juta.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM336.72 juta untuk pelaksanaan 64 projek di Bahagian Samarahan.
Beliau juga memaklumkan bahawa, bekalan air luar bandar khususnya kawasan pesisir Samarahan menjadi keutamaan kerajaan.
Untuk tujuan itu, kerajaan akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan Jambatan Sadong agar mampu menampung berat paip-paip air yang akan dipasang melalui jambatan tersebut.
Terdahulu, Abang Johari menyertai penduduk Samarahan yang terdiri daripada pemimpin masyarakat pada jamuan makan tengah hari di tempat yang sama.
Kemudian, program hari itu diakhiri dengan lawatan ke Laman Projek Kawasan Perindustrian Samarahan dan Pasar Borong.
Oleh Nur Ain Otsman