
PUTRAJAYA: Pengimportan sisa elektronik ke Malaysia diwartakan sebagai barang larangan import secara mutlak di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 melalui Warta Kerajaan Persekutuan, iaitu Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 3) 2026 (P.U.(A) 151/2026) yang berkuat kuasa hari ini.
Pewartaan itu dibuat selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967 [Akta 235].
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Amran Ahmad berkata langkah itu sejajar dengan keputusan yang dicapai melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026.
“Ia sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara serta melindungi alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, katanya, JKDM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Langkah itu bagi memastikan larangan terhadap pengimportan buangan terjadual, khususnya sisa elektronik dikuatkuasakan secara tegas dan berkesan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel.
Malaysia telah menjadi negara parti kepada Konvensyen Basel pada 8 Oktober 1993 dan JAS merupakan pihak berkuasa kompeten yang bertanggungjawab dalam pengurusan Konvensyen Basel di Malaysia. – Bernama