KABONG: Seramai 17 penghuni daripada tiga rumah di Kampung Hilir, Kabong, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku sekitar 4.30 pagi itu turut menjejaskan tiga lagi rumah berdekatan, namun dengan ketangkasan anggota bomba rumah-rumah terbabit sempat diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, PPgB Nazry Mohamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu pada 4.47 pagi.
Beliau berkata, tujuh anggota dari BBP Saratok dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu.
“Setibanya di lokasi kejadian iaitu di Kampung Hilir Kabong, didapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan di tiga rumah jenis setingkat itu dan kebakaran turut merebak ke tiga lagi rumah berdekatan namun sempat diselamatkan,” katanya kepada pemberita dekat sini semalam.
Nazry berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kejadian itu.
Tambahnya, pihak bomba mengambil masa hampir dua jam untuk mengawal dan seterusnya memadam kebakaran tersebut.
“Kejadian ini menyebabkan tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang. Namun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berikutan insiden tersebut.
“Hingga kini pihak bomba masih lagi menjalankan siasatan berkaitan dengan punca kebakaran dan juga jumlah kerugian yang ditanggung semua mangsa,” ujar Nazry.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir sebaik sahaja mendengar perkhabaran tersebut beliau terus bergegas ke lokasi kejadian.
Oleh Adi safarman