BETONG: Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera (PBB) peringkat akar umbi harus mengetahui dasar pembangunan kerajaan yang telah digubal bagi kepentingan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan adanya pengetahuan yang cukup mengenai dasar pembangunan kerajaan tersebut terutamanya yang paling relevan dengan masyarakat setempat seperti petani, ketua wanita, bapa dan pemuda PBB seterusnya dapat menyebarluaskan maklumat tersebut kepada peringkat akar umbi.
“Dengan cara ini mereka akan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jalan Bukit Saban dan turut melancarkan cawangan baharu PBB Brutan Ulu di Rumah Hendary Jawan di Serudit Atas di sini, baru-baru ini.
Menurut Uggah, semua pemimpin parti hendaklah bersikap proaktif dalam mencari jalan bagi membantu kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui program dan aktiviti yang mampu menjana pendapatan.
“Kerajaan GPS negeri telah merealisasikan pandangan ini terutamanya dalam sektor pertanian. Objektif utama adalah untuk memperbanyak penyertaan dalam sistem pertanian moden misalnya seperti sistem penanaman jenis fertigasi dan hidroponik.
“Kaedah seperti ini tidak memerlukan keluasan tanah yang besar atau melibatkan bilangan pekerja yang ramai dan ia hanya memerlukan penyelenggaraan berdasarkan penjadualan yang telah ditetapkan yang boleh dilakukan oleh satu hingga dua orang pekerja sahaja.
“Bagi masyarakat dayak yang tinggal di luar bandar, saya juga menyarankan untuk menambah bilangan ternakan seperti khinzir untuk dimasukkan ke dalam senarai.
“Permintaan daging yang tinggi sama ada dalam suasana ekonomi turun atau naik, turut meningkatkan potensi penjualannya,” kata Uggah sambil memberitahu, sayuran liar seperti paku pakis Betong telah masuk ke dalam pasar Singapura dan telah terjual dalam masa yang sangat singkat.
“Satu paket sayuran tersebut seberat 250 gram dijual di Singapura dengan harga $3.00 dan $12.00 untuk satu kilogram,” katanya.
Mengggulas mengenai isu politik, Uggah mengucapkan terima kasih kepada sembilan orang Ketua Kampung termasuk Joseph Suat yang merupakan Ketua Perhimpunan Ketua Rumah Panjang Spaoh (mewakili 43 Ketua Kampung) yang meletakkan harapan agar beliau terus mewakili Bukit Saban dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
Bagi menzahirkan rasa terima kasih beliau atas sokongan yang diberikan, beliau menyatakan bahawa GPS berhak diberi mandat untuk memerintah negeri ini kerana mempunyai pemimpin yang sangat berpengalaman dan mampu memikul tugas dengan baik.
“Terdapat sebahagian pihak yang mengujarkan bahawa kita mesti mempunyai pemimpin dan kerajaan yang baharu.
“Kita mesti belajar daripada sejarah baru-baru ini. Terdapat banyak perubahan dan polisi yang agak aneh dilakukan oleh kerajaan PH yang terdahulu sehingga ia membawa kepada kegagalan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Uggah diiringi oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr. Richard Rapu, menyampaikan pengimbas suhu badan dan monitor TV kepada Tr. Reselley Ujie yang merupakan ketua SRK Paku Sentral di Spaoh bagi kegunaan di sekolah dalam langkah mencegah penularan Covid-19.
Oleh Rynna Sha’erra