
MALUDAM: Pasukan Maksu B Maludam mencipta kejayaan manis apabila muncul juara Liga Bola Sepak Sembilan Sebelah bagi merebut Piala Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Padang Bolasepak Kampung Hulu Maludam, semalam.
Pada aksi final yang penuh sengit itu, Maksu B Maludam berjaya menundukkan RB Spinang dengan keputusan 2-0 sekali gus mengesahkan keunggulan mereka dalam kejohanan berkenaan.
Perlawanan akhir tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dan strategi tersusun, namun kecekapan jentera serangan Maksu B Maludam menjadi pemisah utama.
Kejayaan itu membolehkan Maksu B Maludam membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat sebagai simbol kejuaraan.
Sementara itu, pasukan RB Spinang yang muncul sebagai naib juara turut menerima hadiah wang tunai RM1,000 selain piala dan pingat.
Sebanyak 16 pasukan telah menyertai kejohanan tersebut, menjadikan pertandingan lebih kompetitif dan meriah dengan penyertaan dari pelbagai kampung sekitar.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Kejohanan ini merupakan anjuran Pusat Khidmat ADUN N.28 Lingga dan Pusat Khidmat Parlimen P.201 Batang Lupar dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Belia Maludam.
Dalam ucapannya, Dayang Noorazah merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan yang berjaya serta memberi semangat kepada pasukan yang kurang bernasib baik agar terus berusaha pada masa akan datang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan kejohanan tersebut dengan penuh komitmen.
Menurut beliau lagi, program seumpama ini wajar diteruskan sebagai satu tradisi kerana mampu memupuk gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Noraini Aden, Mahli Semail, Awang Nashfarini Awang Sarbini, Abdul Rahim Jamil, barisan ketua kampung, tuai rumah serta penduduk sekitar yang turut memberikan sokongan padu.
Oleh Adi Safarman