Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Majlis Islam Sarawak sasar himpunkan guru al-Quran di bawah satu pusat
  • Selatan
  • WILAYAH

Majlis Islam Sarawak sasar himpunkan guru al-Quran di bawah satu pusat

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATU Misnu Taha bergambar bersama rombongan wakil Sarawak ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M selepas kunjungan hormat di Kuching.

PETRA JAYA: Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha menyasarkan usaha menghimpunkan guru-guru al-Quran di seluruh Sarawak di bawah satu platform bersepadu bagi memperkukuh pengajaran dan pengembangan ilmu al-Quran di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Pusat al-Quran Darul Hana yang berperanan sebagai pusat penyelarasan utama melibatkan qari, qariah serta tenaga pengajar al-Quran di seluruh Sarawak.

“Dalam jangka masa terdekat, kita mahu mengumpulkan semua guru-guru al-Quran supaya pengajaran dapat disusun dengan lebih sistematik dan berkesan.

DATU Misnu Taha berucap pada sidang media berkaitan penyertaan ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M.

“Sebab itu kita galakkan mana-mana guru ngaji di seluruh Sarawak bernaung di bawah Pusat Pengembangan al-Quran Darul Hana bagi memastikan mereka mendapat kemudahan serta sokongan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat rombongan wakil Sarawak ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M.

Tambahnya, pusat berkenaan yang kini dalam perancangan pembangunan di Kuching akan menjadi ‘payung’ kepada semua usaha berkaitan pengembangan al-Quran termasuk latihan, hafazan, tilawah serta penterjemahan.

“Pusat ini bukan hanya untuk Kuching, tetapi akan diperluaskan ke seluruh Sarawak melalui jaringan jabatan agama dan institusi berkaitan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata Sarawak kini giat mengembangkan penterjemahan al-Quran ke dalam pelbagai bahasa etnik termasuk Iban, Bidayuh dan Melanau bagi memastikan mesej al-Quran dapat difahami dengan lebih meluas.

Selain itu, usaha turut dipergiat bagi memperluas akses kepada golongan istimewa termasuk penyediaan al-Quran Braille untuk mereka yang kurang penglihatan serta inisiatif khas untuk golongan kurang pendengaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini sebanyak 32 rumah ngaji telah berdaftar di seluruh Sarawak dan jumlah itu dijangka terus meningkat dengan sokongan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat.

“Usaha ini penting bagi memastikan masyarakat Islam di Sarawak terus dekat dengan al-Quran, bukan sahaja dari segi bacaan tetapi juga pemahaman dan penghayatan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Sarawak akan menghantar enam peserta ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 18 April ini di Kuala Nerus, Terengganu.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Jambatan Batang Paloh dijangka siap September ini
Next: Majlis Aidilfitri BDA satukan komuniti pelbagai kaum di Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.