MIRI: Sebanyak lima rumah panjang lagi dengan 95 isi rumah di kawasan Telang Usan, Baram bakal menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui program Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang akan dilaksana pada tahun 2021 nanti.
Menteri Utiliti, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, lima rumah panjang tersebut ialah Long Seniai, Long Melangit, Long Kaho, Long Sengayan dan Long Pelanduk.
“Kesemua lima rumah panjang ini akan turut menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui program SARES setelah pelaksanaan ini siap kelak,” katanya pada majlis Perasmian Projek SARES di Long Pilah, Telang Usan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kelmarin.
Pada majlis tersebut, sebanyak 13 kampung iaitu Long Pilah, Long Luteng, Long Daloh Bestari,Long Miri, Long Tebangan, Long Liam Keliman, Long Sobeng, Long Selapun, Long Sebatang, Long Sengung, Long Pala, Long Puah dan Long Buken telah menerima surat hak milik SARES yang diserahkan oleh Abang Johari.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Marudi, Anyie Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Games Sepawi, Ketua Kaum Long Pilah, Saging Wan Lah.
Rundi berkata, Sarawak kini mencapai liputan elektrik 24 jam sekitar 93 peratus penduduk luar bandar.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari telah memberi peruntukan khas berjumlah RM2.37 bilon bagi tahun 2019 dan 2020 untuk Projek Bekalan Elektirk Luar Bandar (BELB).
Katanya, ini akan dapat mempertingkatkan liputan bekalan elektrik dalam kalangan isi rumah di luar bandar dari 93 peratus kepada 96 peratus.
“Dalam Pelan Induk Elektrik Luar Bandar Sarawak, sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan bagi tempoh 2019 hingga 2020 untuk menerangi 400 kampung yang melibatkan 12,000 isi rumah di bawah program Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).
“Sejak pelaksanaan SARES lebih 7,988 isi rumah di 277 kampung dan rumah panjang terpencil kini dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam,” katanya.
Konsep pelaksanaan SARES adalah berdasarkan Community -Based iaitu projek ini dilaksanakan dengan kerjasama komuniti.
Pada peringkat pelaksanaan, komuniti perlu memberi kebenaran menggunakan tanah tanpa sebarang syarat dikenakan.
Selepas selesai pembinaan, sistem tersebut akan diserahkan kepada komuniti untuk operasi dan penyelenggaraan yang mudah.
Pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membuat penyelenggaraan berkala.
Projek SARES merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan dilaksanakan oleh SEB untuk membekalkan elektrik 24 jam kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Ia sejajar Program Transformasi Luar Bandar Sarawak yang bertujuan merapatkan jurang perbezaan di antara penduduk luar bandar dan bandar dalam menikmati kemudahan utiliti asas itu.
Oleh Liong Chai Ling