
NEW YORK: Harga minyak meningkat hari ini pada permulaan minggu dagangan kelima sejak bermulanya perang Iran, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Harga minyak mentah Brent Laut Utara untuk penghantaran Mei melonjak empat peratus semalaman kepada hampir AS$117 setong (159 liter).
Hal Itu membawa kepada harga minyak menghampiri paras tertinggi sementara AS$119.50 yang dicapai tiga minggu lepas.
Pada awal pagi, harga berada pada AS$115.55, 2.7 peratus lebih tinggi daripada pada akhir minggu lalu.
Brent meningkat hampir 60 peratus sejak permulaan perang Iran. Harga untuk gred minyak mentah lain juga telah melonjak secara mendadak sejak serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS)ke atas Iran.
Satu tong minyak mentah WTI AS berharga lebih AS$100 pada pagi tadi iaitu lebih 50 peratus lebih tinggi sebelum perang Iran bermula.
Lonjakan harga membawa kesan kepada ekonomi dan pengguna di seluruh dunia, antaranya peningkatan kos bahan api.
AS dan Israel meneruskan serangan mereka ke atas Iran. Tentera Israel menyatakan bahawa ‘infrastruktur ketenteraan’ di ibu negara Iran, Tehran, menjadi sasaran, tanpa memberikan butiran lanjut.
Sebelum itu, Presiden AS Donald Trump memuat naik hantaran di platform Truth Socialnya: “Hari yang hebat di Iran,” mendakwa tentera AS telah menyerang dan memusnahkan “banyak lokasi yang telah lama disasarkan.”
Iran meneruskan serangan balasnya ke atas Israel dan negara-negara Teluk berdekatan.
Sementara itu, Trump, dalam temu bual dengan Financial Times, berkata beliau mahu menguasai minyak Iran.
-Bernama