
KUCHING: Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii berkata kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani situasi bekalan minyak semasa sambil terus mengekalkan subsidi bagi meringankan beban rakyat.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan telah dipertingkatkan, termasuk kejayaan merampas diesel seludup bernilai RM32 juta baru-baru ini. Menurutnya, langkah ini penting untuk membanteras kegiatan penyeludupan yang menyumbang kepada gangguan bekalan serta memastikan minyak bersubsidi sampai kepada golongan yang memerlukan.
Dr Yii turut memaklumkan bahawa beberapa negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam telah mengurangkan hari persekolahan daripada lima kepada tiga hari akibat kekangan bahan api, sekali gus menjejaskan pendidikan pelajar.
Beliau menegaskan Malaysia masih mampu mengawal dan mengurus keadaan bagi meminimumkan kesan kepada rakyat, namun memberi amaran bahawa perkembangan global mungkin memberi impak dalam masa terdekat.
Menyentuh perkembangan antarabangsa, beliau berkata negara seperti Iran membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz, dan hubungan diplomatik yang baik, khususnya dengan China, membantu memastikan laluan perdagangan kekal lancar.
Oleh Connie Chieng