MIRI: Seramai 6,460 penduduk daripada 725 isi rumah melibatkan 13 buah rumah panjang di kawasan DUN Telang Usan, Baram
sini telah mula menikmati bekalan elektrik 24 jam.
Bekalan elektrik percuma itu dsediakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak berusaha memastikan semua rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, mempunyai bekalan elektrik 24 jam.
“Kawasan Telang Usan kini 71 peratus diliputi bekalan elektrik, tinggal 29 peratus lagi, manakala di kawasan Datuk Gerawat (Adun Mulu) 90 peratus, tinggal sikit lagi.
“Asal ada GPS (Gabungan Parti Sarawak ), tidak lama kawasan Telang Usan 100 peratus diliputi bekalan elektrik, kita akan tambah peruntukan ini kerana niat kita pada tahun 2022 mungkin lebih awal, mencapai liputan bekalan elektrik sepenuhnya untuk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Projek SARES di Kampung Long Pilah, Baram di sini, semalam.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk melakukan yang terbaik untuk memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan asas.
“Kita hendak bangunkan pendalaman, memang mencabar, macam mana mahu bawa masuk tiang, jadi kita gunakan solar. Nanti kita bekalkan elektrik hybrid bila kita memang pilihan raya nanti.
“Niat kita baik, kita membantu rakyat terutamanya anak muda kalau disekolah bukan senang belajar kalau guna lilin.
“Kalau sudah dibekalkan elektrik, baca buku pun senang, ilmu pun bertambah, kalau free dapat berkaraoke, mahu minum air sejuk ada ais, jadi inilah mengubah cara hidup kita,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menyeru rakyat negeri ini khusunya penduduk di Baram terus mengukuhkan perpaduan bagi memastikan pembangunan negeri ini dapat diteruskan dengan baik.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan surat hak milik SARES kepada 13 kampung iaitu Long Pilah, Long Luteng, Long Daloh Bestari, Long Miri, Long Tebangan, Long Liam Keliman, Long Sobeng, Long Selapun, Long Sebatang,Long Sengung, Long Pala, Long Puah dan Long Buken.
Sebelum ini penduduk berkenaan menggunakan kuasa elektrik dijanakan daripada generator menggunakan diesel.
Oleh Liong Chai Ling