
SARIKEI: Seekor buaya dianggarkan sepanjang enam kaki berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei selepas ditemui di dalam parit berhampiran sebuah kediaman di Lorong 6, Taman Susur Jambu pada semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran reptilia tersebut pada 5.13 petang.
“Empat orang anggota APM Sarikei bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, operasi menangkap buaya dijalankan oleh anggota APM Sarikei,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, buaya berjaya ditangkap menggunakan teknik menjerut.
“Ia kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sarikei sementara menunggu proses pemindahan oleh pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang dijangka pada 10.00 pagi ini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran haiwan liar berbahaya berhampiran kawasan kediaman bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Earl Anek