
KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Operasi PASIR Sektor Semporna Siri 1/2026 berjaya dikesan dan didapati Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC).
Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan Renjer Fredenick Petrus, 21, dari Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), tidak ditemukan semasa pemeriksaan baris pagi di Pos Pulau Pandanan pada 14 Mac lepas, sebelum usaha pengesanan dilaksanakan.
“Hasil tindakan pengesanan, anggota berkenaan telah ditangkap oleh pasukan 3 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Kota Samarahan, Sarawak pada 19 Mac.
“Anggota itu seterusnya dibawa ke hadapan Majistret Kota Samarahan dan kini berada dalam tahanan tentera di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak bagi tujuan siasatan lanjut,” menurut MK AB dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran anggota tersebut.
“Tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan serta undang-undang di bawah Akta Angkatan Tentera (ATM) 1972. MK AB komited untuk memastikan setiap kes ditangani secara profesional, telus dan berintegriti.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” menurut kenyataan itu. – Bernama