KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan mengotakan janjinya kepada rakyat Samarahan melalui inisiatif menaik taraf lima bulatan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu adalah usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang menjadi kebimbangan di kawasan ini.
“Dua tahun yang lepas, saya menerima aduan tentang kesesakan jalan raya yang sangat teruk di sini (Kota Samarahan) yang melambatkan perjalananan warga yang bekerja di Kuching atau sebaliknya.
“Jawapan saya ketika itu adalah akan menaik taraf kawasan bulatan dengan membina lampu isyarat pintar dan hari ini saya menunaikan janji saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Kuching-Samarahan di sini semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak mempunyai keperluan untuk meningkatkan kemudahan lalu lintas di kawasan ini sebagai manfaat kepada rakyat setempat.
Ekoran daripada aduan dan keluhan rakyat tempat, beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui perancangan yang teliti akan menaik taraf lima bulatan berkenaan dengan sistem lampu isyarat pintar.
Dalam hal berkaitan, Abang Johari turut memaklumkan populasi penduduk di Kuching dan Samarahan kini sudah mencecah 1.2 juta orang.
Tambahan pula, beliau berkata masyarakat dari dua kawasan ini sering berulang alik melalui kawasan Perindustrian Sama Jaya atas keperluan pekerjaan masing-masing.
“Tidak lama lagi, kita akan membina sebuah jalan alternatif dari Lebuh Raya Kuching-Samarahan ke kawasan berhampiran dengan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), sekali gus membina jambatan yang melintasi Sungai Sarawak di laluan tersebut.
“Ini bagi memudahkan masyarakat di kawasan ini pergi ke Petra Jaya tanpa perlu melalui Bandar Raya Kuching,” katanya.
Untuk rekod, kos menaik taraf lima bulatan tersebut bakal menelan belanja RM47 juta dan akan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan.
Turut hadir Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang, Adun Stakan Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud, Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Adun Simunjan Awla Dris dan serta wakil yang lain.
Oleh Akmal Adib Yusup