PENDUDUK di Balingian bakal mendapat kemudahan sukan yang lebih baik dengan pelaksanaan projek naik taraf Stadium Mini dalam masa terdekat ini.
Berita yang amat ditunggu oleh peminat sukan tempatan itu telah didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian(ADUN) Abdul Yakub Arbi, semalam.
“ Kita telah memutuskan untuk tidak meroboh stadium sedia ada tetapi sebaliknya menaiktarafkannya. Projek ini akan dilaksanakan dengan kos sebanyak RM9 juta dengan naik taraf padang yang sedia ada untuk menjadi padang ‘standard’ dan lengkap dengan sistem peparitan yang sesuai,” tambahnya.
Menurutnya lagi, setelah selesai fasa pertama yang akan menelan kos sebanyak RM9 juga itu siap kelak mereka melaksanakan fasa 2 nanti.
“Kita belum mencadangkan bila fasa seterusnya nanti dan hanya sebagai makluman ia adalah termasuk pembinaan Grand Stand untuk stadium serta Stadium Tertutup. Namun bila dan berapa kos untuk fasa 2 belum diketahui lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat@Komuniti Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19 Daerah Balingian yang berlangsung di Balai Raya Kampung Lintang Balingian.
Beliau turut menyentuh tentang Pembinaan Masjid Baharu Kuala Balingian yang akan menelan kos RM10 juta, Waterfront di Pasar Lama Balingian dan Projek pemulihan koridor Sungai Batang Balingian dan Lembangan (sekitar Tapak Acara Bederun, Medan Selera, Parkir di Dewan Masyarakat Balingian, Pejabat Daerah Kecil Balingian(RM5 juta), Pejabat Majlis Daerah Dalat dan Mukah(MDDM) Cawangan Balingian(RM5 juta) selain projek mega, SMK Balingian.
“Selain daripada dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar(RTP), dana juga datangnya terus daripada Ketua Menteri. Ini menunjukkan betapa prihatinnya beliau terhadap keperluan penduduk terutamanya bagi masyarakat di luar bandar ini,” ujarnya.
Beliau juga mendedahkan selain itu mereka harus menggunakan peruntukan MRP sebanyak RM5 juta setahun.
“Pruntukan MRP ini harus dihabiskan untuk tahun ini kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian ini sangat besar. saya harus pandai membahagikan peruntukan ini,” ujarnya.