
SIBU: Persatuan Jualan dan Perkhidmatan Barangan Elektrik dan Elektronik Zon Tengah, Sarawak menyantuni anak yatim program Charity 6.0 di Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang, petang semalam.
Pengerusinya, Lau Wang Mee berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan serta menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Pada tahun ini, program Charity 6.0 lebih bermakna kerana kita dapat menyantuni komuniti Melayu, sekali gus mengukuhkan hubungan melalui semangat saling memahami dan prihatin.

“Kami berbesar hati dapat menyampaikan hamper Raya dan barangan keperluan asas kepada 63 anak yatim dengan harapan dapat membawa kegembiraan dan keceriaan kepada mereka,” ujarnya pada majlis tersebut.
Katanya, program berkenaan turut mencerminkan semangat perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan nilai saling menghormati dan prihatin antara satu sama lain.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pengerusi penganjur, Kaunselor Michelle Law Wan Ling atas komitmen dan kepimpinan dalam menjayakan program berkenaan, selain semua penyumbang yang tampil memberikan sokongan,” ujarnya lagi.

Program tersebut turut diserikan dengan majlis berbuka puasa bersama anak-anak berkenaan dalam suasana penuh mesra dan bermakna, sempena bulan Ramadan yang mulia.
Antara barangan yang disumbangkan termasuk bakul hadiah Hari Raya serta keperluan harian seperti pencuci pakaian, deodoran, tuala wanita dan ubat gigi.
Turut hadir, Ahli Lembaga PERYATIM Sarawak yang juga Pengerusi Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu, Dato Mohamad Yusnar Matalie.
Oleh Akun Giman