
BINTANGOR: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dianggarkan bernilai RM600,000 bagi pembinaan bangunan kelas Program Pendidikan Khas dan Inklusif (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan pendidikan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah hadir bagi menyaksikan penyerahan tapak projek tersebut pada hari ini.
Projek tersebut diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei dengan kerjasama pihak sekolah dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Koung Hiing berkata, pembangunan kemudahan pendidikan khas seperti PPKI amat penting dalam memastikan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
“Pembangunan kemudahan pendidikan khas seperti PPKI adalah amat penting dalam memastikan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.
“Kita komited untuk terus memperjuangkan keperluan rakyat termasuk dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan di kawasan DUN Meradong,” katanya ketika ditemui media.
Katanya, projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal yang lebih selesa dan kondusif, malah memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk belajar dalam persekitaran yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
“Menurut pihak pelaksana, projek pembinaan ini dijadualkan bermula pada 23 Mac 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 22 Januari 2027, dengan tempoh pelaksanaan selama 10 bulan.
“Skop projek merangkumi pembinaan bangunan kelas baharu yang dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk ruang pembelajaran yang lebih selamat, selesa serta mesra murid berkeperluan khas.
“Kemudahan ini dijangka membantu guru dalam menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan serta meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pembangunan pendidikan luar bandar terus diperkasa serta jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.
Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Ting Sii Ung; wakil Residen Sarikei, Sing Ming Shyang; wakil Pejabat Daerah Meradong, Ting Kai Siang; Penolong Jurutera JKR Sarikei, Anastasya; Guru Besar SK Bandar Bintangor, Zamerene Ruin dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek