Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Bursa Malaysia dibuka tinggi, seiring kenaikan Wall Street walaupun harga minyak mentah meningkat
  • BISNES

Bursa Malaysia dibuka tinggi, seiring kenaikan Wall Street walaupun harga minyak mentah meningkat

Utusan Sarawak 10 hours ago

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, sejajar dengan kenaikan Wall Street semalaman walaupun harga minyak mentah yang tidak menentu kekal melebihi paras AS$100 setong.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.24 mata atau 0.72 peratus kepada 1,723.23 daripada 1,710.99 dicatatkan semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.98 mata kepada 1,713.97.

Pasaran secara menyeluruh positif dengan 177 kaunter untung mengatasi 124 kaunter rugi manakala 222 kaunter tidak berubah, 2,211 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 209.55 juta saham bernilai RM271.88 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata rayuan Presiden AS Donald Trump untuk mendapatkan bantuan NATO tidak mendapat perhatian susulan perang dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

“Sementara itu, hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.20 peratus. Bagi Hong Kong, Indeks Hang Seng meningkat tetapi tidak mencapai paras tertinggi harian manakala sentimen pasaran masih berhati-hati dalam keadaan harga minyak mentah stabil,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, setakat ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.84 peratus kepada AS$102.50 setong.

Dalam negara, katanya FBM KLCI ditutup melepasi paras 1,710 semalam, disokong oleh kembalinya dana asing selepas beberapa hari mencatatkan aliran keluar bersih.

“Ramai melihat Malaysia sebagai negara yang mampu untuk terus stabil di rantau ini dalam menghadapi tekanan harga minyak mentah yang tinggi pada masa ini.

“Oleh itu, kami menjangka indeks diniagakan antara 1,700 dan 1,720 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 8.0 sen kepada RM11.68, Public Bank menambah 4.0 sen kepada RM4.90, CIMB naik 9.0 sen kepada RM7.95, Tenaga Nasional menokok 10 sen kepada RM14.30 dan IHH Healthcare meningkat 12 sen kepada RM9.05.

Dalam senarai paling aktif, Sunway Healthcare yang mula disenaraikan di Pasaran Utama meningkat 34 sen kepada RM1.79, Kinergy Advancement naik setengah sen kepada 39.5 sen, Bumi Armada dan Perak Transit, masing-masing berkurangan setengah sen kepada 32.5 sen dan 24 sen manakala Pharmaniaga mendatar pada 27.5 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle, naik 80 sen kepada RM101.70; Petronas Gas meningkat 24 sen kepada RM17.84; Kuala Lumpur Kepong menokok 18 sen kepada RM19.78, Malayan Cement dan Hong Leong Bank, masing-masing menambah 14 sen kepada RM6.92 dan RM22.94.

Kaunter paling rugi ialah United Plantations, merosot 26 sen kepada RM33.74; PPB Group berkurangan 12 sen kepada RM11.28, Concrete Engineering Products menurun 11 sen kepada RM1.55, Apollo Food menyusut 10 sen kepada RM5.62 dan Hextar Technologies Solutions merosot 9.0 sen kepada RM1.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 76.20 mata kepada 12,405.38, Indeks FBM Emas meningkat 70.97 mata kepada 12,556.93, Indeks FBM ACE menambah 13.44 mata kepada 4,427.36, Indeks FBM 70 menokok 51.32 mata kepada 17,158.93 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 55.29 mata kepada 12,124.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 149.19 mata kepada 20,786.73, Indeks Perladangan meningkat 41.67 mata kepada 8,610.15, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.12 mata kepada 178.57 manakala Indeks Tenaga merosot 7.25 mata kepada 782.72.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, berpotensi terus catat kenaikan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.