MIRI: Seramai 16 penyelam menyertai Bengkel Kesedaran Pembersihan Terumbu Karang di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti di sini, semalam.
Para penyelam terdiri daripada ahli Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Miri Divers Centre.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii berkata, Taman Negara Marin Miri-Sibuti merupakan taman negara marin terbesar di negeri ini dan satu destinasi menarik untuk pelancong khususnya untuk menjalankan aktiviti menyelam.
Sehubungan itu, katanya, promosi atau usaha perlu dijalankan bagi mengkomersialkan taman laut itu kepada penggemar sukan menyelam.
“Taman Negara Marin ini kini mula diangkat sebagai produk pelancongan negeri sekali gus mampu menarik kehadiran kumpulan penyelam dari dalam dan luar negara.
“Bagaimanapun, operator pelancongan perlu giat mempromosikan taman negara itu sekali gus merancakkan industri pelancongan sukan air,” katanya kepada media selepas mewakili Menteri Muda Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting merasmikan bengkel tersebut yang dianjurkan oleh NSJA di Jeti Marina Bay di sini, semalam.
Yii berkata, kebersihan alam sekitar termasuk di dalam laut perlu dikekalkan bagi memastikan produk pelancongan Miri yang popular iaitu aktiviti menyelam, kekal sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri ini.
“Inisiatif NSJA menganjurkan bengkel tersebut harus dicontohi oleh semua golongan masyarakat.
“Walaupun para media sibuk dalam tugas harian,mereka tetap terlibat melibatkan diri secara sukarela dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Law Poh Kiong dan Presiden NSJA Andy Jong.
Oleh Liong Chai Ling