PEMAIN bola sepak naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh yang baru berhijjrah ke pasukan Liga Satu Thailand, Police Tero FC berkata beliau akan terus mewakili Malaysia.
Pemain sayap berusia 26 tahun itu yang menyelesaikan perpindahannya ke Police Tero FC pada 7 Sept lepas, berkata beliau akan bermain untuk pasukan Malaysia apabila khidmatnya diperlukan jurulatih.
“Apabila kami ada tugas untuk skuad negara, saya perlu pulang dan mewakili Malaysia,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan kembali ke dalam Liga Bola Sepak Malaysia pada masa akan datang, Sumareh berkata:”kemungkinan besar.”
“Saya tidak pasti pasukan mana … saya tidak mahu tumpukan perkara itu sekarang. Saya di sini (Police Tero) , saya mahu menyerlah di sini.
“Saya tidak tahu bagaimanakah masa depan saya … bila tiba masanya , saya akan nampak di mana kesudahan saya pada masa akan datang,” katanya.
Sumareh menyertai rakan sepasukan dalam skuad Malaysia, Dominic Tan yang menandatangani kontrak dua tahun bersama Police Tero FC, Julai tahun lepas.
Sumareh juga berterima kasih kepada peminatnya yang menyokong beliau bermain di liga luar negara.
“Saya gembira mereka mahu melihat saya beraksi di sini. Peminat Malaysia sangat menyokong pemain-pemain yang berhijrah ke luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Sumareh berikrar untuk memberikan aksi terbaiknya untuk membantu kelab itu mencipta kejayaan.
Pemain berusia 26 tahun itu memulakan latihan pertama bersama kelab berkenaan di Stadium Police Tero di Lak Si, pada Rabu selepas tamat menjalani kuarantin wajib 14 hari di lokasi alternatif kuarantin (ASQ) di Bangkok.
Sumareh yang telah mengesahkan kontrak bersama Police Tero FC pada 7 September lepas tiba di Bangkok pada 29 Sept selepas diberikan visa untuk terbang ke Thailand.
Pemain sayap itu menyertai seorang lagi pemain negara Dominic Tan yang mengikat kontrak dua tahun bersama Police Tero FC pada Julai tahun lepas.
“Saya bertemu dengan orang dikenali. Saya tidak berasa asing di sini. Dominic memperkenalkan saya kepada semua pemain. Dia membantu saya dan memudahkan saya bergaul dengan rakan sepasukan.
“Saya mungkin tidak berada di sini sehingga tamat musim namun selagi saya di sini, saya akan memberikan yang terbaik untuk menang dalam perlawanan. Saya tidak akan mengecewakan mereka…Saya berharap dapat beraksi dalam perlawanan. Saya mahu tinggalkan tanda diri saya di sini.
“Sama ada saya yang menjaringkan gol atau membantu, yang penting pasukan mengutip tiga mata,” katanya.-Bernama