
KUCHING: Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum dan latar belakang memenuhi Padang Merdeka bagi menyertai program tahunan Juh Berambeh Sungkei, di sini petang tadi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan yang konsisten tinggi sejak penganjuran pertama menunjukkan program itu bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya platform mempererat hubungan masyarakat.
“Jika tahun lalu kehadiran dianggarkan sekitar 5,000 orang, saya menjangkakan jumlah hampir sama pada tahun ini memandangkan cuaca baik dan orang ramai sudah mula memenuhi kawasan Padang Merdeka sebelum waktu berbuka,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, acara itu turut menarik kehadiran pelajar universiti serta pengunjung dari kawasan berhampiran termasuk Samarahan, selain disertai masyarakat pelbagai kaum.
Beliau berkata, berdasarkan sambutan sepanjang empat tahun penganjuran serta kejayaan program serupa di bandar lain seperti Sibu, Miri dan Samarahan, program berkenaan berpotensi diteruskan pada masa hadapan sebagai acara tahunan yang lebih besar.
“Sambutan tahun depan dijangka lebih meriah memandangkan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina berkemungkinan disambut dalam tempoh yang hampir serentak,” tambahnya
Oleh Adele Rissa