
KUCHING: Industri pelancongan Sarawak kini menumpukan kepada pengunjung domestik bagi menghadapi kesan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sekatan terhadap pengeluaran minyak akibat konflik menyebabkan kos bahan api meningkat, sekali gus menaikkan tambang penerbangan dan kos perjalanan.
“Ramai pelancong mungkin menangguhkan perjalanan kerana kos perjalanan semakin tinggi.
“Bagi memastikan industri terus berkembang, kita menumpukan usaha kepada pelancongan domestik. Pergerakan pelancong antara Kuching, Miri dan bandar lain di dalam negeri mampu merancakkan sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Juh Berambeh Sungkei di Padang Merdeka petang ini.
Abdul Karim menambah, sasaran lima juta pengunjung bergantung kepada tempoh konflik dan kestabilan ekonomi global.
“Situasi ini dijangka memberi kesan kepada keputusan orang ramai untuk melancong, termasuk menangguhkan rancangan bercuti.
“Sekiranya keadaan kembali stabil dalam masa terdekat, industri pelancongan berpotensi pulih menjelang hujung tahun,” jelasnya.
Bagaimanapun, konflik yang berlarutan boleh memberi kesan lebih besar terhadap pergerakan pelancong dan perancangan sektor pelancongan, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Beliau menegaskan, walaupun cabaran wujud, tumpuan kepada pelancongan domestik dapat memberi ruang kepada industri untuk terus berkembang, sambil rakyat masih berpeluang menikmati destinasi pelancongan dalam negeri dengan kos lebih terkawal.
Oleh Adele Rissa