
PETRA JAYA: Rakyat dinasihatkan agar berjimat cermat dan sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran ekonomi global, terutama berkaitan kenaikan kos logistik dan harga minyak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, kerajaan sentiasa memantau situasi semasa bagi memastikan bekalan minyak dan sumber tenaga lain dapat dikekalkan, serta menasihatkan rakyat supaya mengamalkan penjimatan, termasuk penggunaan elektrik dan bahan bakar.

“Ini tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk berjaga-jaga, berjimat dan saling membantu antara satu sama lain.
“Insya-Allah, dengan langkah-langkah ini, ekonomi negara dan kehidupan rakyat akan kekal stabil walaupun berlaku kenaikan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat ADUN N7 Samariang, hari ini.

Dalam program berkenaan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita PBB N7 Semariang, yang menganjurkan majlis tahunan itu dengan kerjasama agensi termasuk Jabatan Pemadam Negeri Sarawak.
Tambah beliau, program seperti itu bukan sahaja menimbulkan keceriaan dan semangat tolong-menolong, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau menegaskan, kesedaran untuk saling membantu antara satu sama lain adalah asas nilai kasih sayang dalam masyarakat, sejajar dengan tuntutan agama, dan menjadi panduan dalam menghadapi cabaran semasa.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menjelaskan bahawa program itu bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat dan berkongsi keceriaan menjelang Syawal sebagai program utama Pergerakan Wanita.
“Semoga segala sumbangan dan usaha kita hari ini menambahkan keceriaan kepada penerima dan memperkukuh semangat tolong-menolong, kasih sayang serta kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat, serta menjadikan Ramadan dan Syawal ini lebih bermakna,” ujarnya.
Untuk rekod, Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal merupakan inisiatif tahunan Pergerakan Wanita PBB Cawangan N7 Samariang untuk menyantuni 150 penerima terpilih menjelang Aidilfitri.
Program itu menyediakan bantuan duit raya dan bakul kuih-muih bagi meringankan beban persiapan Syawal serta mengeratkan hubungan dalam komuniti setempat.
Oleh Masrin Affirah