
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melalui Yayasan Bintulu Port menyumbangkan pemasangan sistem solar kepada Masjid Al-Hijrah, Taman Sri Pelabuhan di sini sempena penganjuran majlis Jalinan Kasih Ramadan dan Iftar bersama komuniti setempat, semalam.
Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti serta institusi keagamaan di kawasan sekitar.
Majlis berkenaan dihadiri Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani serta Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bintulu, Ustaz Muhammad Rahiman Malim; Ketua Kaum Taman Sri Pelabuhan, Awangku Nasir Pengiran Kerta serta Pengerusi Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan, Mohd Aziman Drahman.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan simbolik pertukaran hak milik Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan daripada Bintulu Port Sdn Bhd kepada Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) yang diwakili oleh JAIS Bintulu.
Selain itu, simbolik penyerahan sumbangan sistem solar kepada masjid berkenaan disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Group Safety, Security and Sustainability BPHB, Bolhi Maskawi sebagai usaha menggalakkan penggunaan tenaga lestari di samping membantu mengurangkan kos operasi masjid.
Oleh Carolyne Utih