TEBEDU: Kuasa membeli yang tinggi di Sarawak menarik minat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran menyelinap masuk ke negeri ini.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Sarawak, Zaki Hassan berkata ramai daripada golongan ini datangnya dari kalangan peniaga yang ingin mencuba nasib berniaga di sini.
“Sarawak ini bumi yang bertuah, apa sahaja yang dijual meskipun di tepi jalan pasti akan mendapat sambutan.
“Disebabkan ini ramai daripada mereka (PATI) datang ke sini untuk merebut peluang tersebut,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Program Sempadan Kita, Maruah Kita di Imigresen ICQS Tebedu di sini semalam.
Menurutnya, golongan ini akan sedaya upaya sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menembusi sempadan ini, termasuk memberi rasuah.
“Jika ada satu laluan dijaga oleh pihak berkuasa, mereka akan mencari laluan ‘tikus’ yang lain, malah ada yang berani untuk menyogok pihak berkuasa yang bertugas tersebut,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menyeru agar anggota yang bertugas untuk menjaga integriti supaya menerima tidak terjerumus dalam aktiviti rasuah kerana tindakan seperti ini bakal menjejaskan nama baik dan kredabiliti penjawat awam secara keseluruhannya.
Sementara itu, Zaki turut mendedahkan bahawa ada dari kalangan penduduk tempatan berkomplot sebagai sindiket dan bertindak sebagai ‘tekong’ yang bertugas menyeludup PATI masuk ke sini.
“Saya berharap seluruh warga tempatan perlu tegas dalam menghalang kemasukan mereka ke sini dan jangan terlibat dalam apa-apa aktiviti jenayah seperti ini,” tegasnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Zaki menzahirkan rasa kebimbangan kerana kemasukan PATI turut menyumbang kepada anasir yang tidak baik (seperti dadah, barang seludup) yang akan menjejaskan sosio-ekonomi di negeri kita.
Selain itu, di dalam keresahan menghalang penularan Covid-19 di negeri ini, beliau turut khuatir golongan yang ingin menyelinap sempadan ini berpotensi untuk membawa wabak tersebut.
“Mereka masuk secara haram, maka sudah pasti tiada ujian saringan dijalankan. Inilah perkara yang paling kita takutkan sekarang ini,” katanya lagi.
Turut hadir Pengarah Imigresen Negeri Sarawak Datu Ken Leben, Pengarah Kastam Diraja Malaysia Negeri Sarawak Herman Sha Abdullah dan Timbalan Pengarah SPRM Sarawak Chang Ching.
Oleh Akmal Adib Yusup