
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan di Bahagian Betong menerusi pelaksanaan 108 projek pembangunan di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) khusus bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau menjelaskan bahawa daripada jumlah keseluruhan 108 projek tersebut, sebanyak 37 projek telah berjaya disiapkan sepenuhnya, sekali gus mula memberikan impak positif kepada komuniti setempat.
Bagi baki projek yang lain, sebanyak 62 projek kini berada pada peringkat perancangan rapi bagi memastikan kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan dapat dipenuhi sebelum kerja-kerja fizikal bermula.
Menyentuh mengenai prestasi semasa di tapak bina, beliau memaklumkan lima projek sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, manakala tiga projek menunjukkan prestasi cemerlang dengan status mendahului jadual.
Bagaimanapun, Chee Kadir mengakui terdapat satu projek yang kini berada pada status lewat jadual kritikal dan pemantauan rapi sedang dilakukan bagi mengatasi masalah teknikal yang dihadapi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pemandu BDDA yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BDDA.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat tersebut turut memperincikan status tender bagi tahun 2026, di mana sebanyak 58 projek di DUN Kabong dijangka akan ditender pada tahun ini, merangkumi 93.55 peratus daripada keseluruhan perancangan.
Secara keseluruhannya, BDDA telah meluluskan sebanyak 473 projek di seluruh Bahagian Betong dengan peruntukan besar mencecah RM1.46 bilion setakat Februari 2026 bagi merancakkan pertumbuhan bahagian tersebut.
Langkah penyelarasan ini membuktikan keseriusan kerajaan Sarawak dalam memantau setiap projek dengan cekap agar setiap peruntukan yang disalurkan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan Kabong.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro, Dato Razaili Gapor, ADUN Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik serta ketua-ketua jabatan.
Oleh Adi Safarman