


GENEVA: Enam orang maut dan sekurang-kurangnya empat yang lain cedera selepas sebuah bas awam terbakar di barat Switzerland, menurut polis pada Selasa malam, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Tiga daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, menurut polis di kanton Fribourg. Seorang paramedik turut cedera semasa operasi menyelamat.
Insiden itu berlaku di komuniti Kerzers, di barat ibu negara Bern.
Akhbar Switzerland Blick memetik seorang saksi mendakwa seorang lelaki telah menuang petrol di dalam bas itu sebelum membakar dirinya. Polis tidak mengesahkan dakwaan itu, namun berkata kebakaran berkenaan berpunca daripada tindakan manusia.
Imej yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan itu dijilat api dengan kepulan asap tebal menjulang tinggi ke udara.
Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran itu, namun bas berkenaan musnah sepenuhnya.
Bas itu milik PostAuto yang kebanyakannya mengendalikan perkhidmatan berjadual di kawasan luar bandar. – Bernama-dpa