
KUCHING: Hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar dilanda banjir kilat sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di beberapa laluan utama.
Tinjauan di sekitar Kuching mendapati paras air naik sehingga melimpah ke atas jalan di beberapa kawasan termasuk Jalan Pending, Jalan Tabuan serta Jalan Keruing yang menghala ke Demak.
Keadaan jalan yang dinaiki air menyebabkan kenderaan bergerak perlahan dan berlaku kesesakan panjang terutama pada waktu puncak pagi.
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir pada 8.50 pagi hari ini melibatkan kawasan Kuching dengan jangkaan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang berterusan sehingga 1.00 tengah hari.
Ramalan cuaca bagi bandar raya Kuching juga menunjukkan hujan berlaku di kebanyakan tempat pada waktu pagi, dengan kemungkinan ribut petir di beberapa kawasan pada sebelah petang.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu serta merancang perjalanan bagi mengelakkan laluan yang dinaiki air.
Oleh Masrin Affirah