Amaran ribut petir dikeluarkan di Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar sebuah video berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu 12 menunjukkan aliran air dalam parit mengalir deras. Foto Nadya

KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di sini, termasuk Serian, Samarahan dan Sri Aman, sehingga 1.00 tengah hari ini.

Amaran itu dikeluarkan susulan terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah selama tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran.

TANGKAP layar video menunjukkan aliran air mengalir deras di Kota Padawan, Batu 12. Foto Adele Rissa

Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengelak berada di kawasan terbuka, berhampiran pokok tinggi atau struktur mudah terdedah, serta memantau perkembangan cuaca melalui saluran rasmi.

Amaran tersebut dikeluarkan pada 8.50 pagi ini. Penduduk di kawasan terlibat diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi langkah keselamatan semasa ribut petir.

Menerusi rakaman tinjauan berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu 12 di sini menunjukkan aliran air dalam parit mengalir deras akibat hujan berterusan sejak pagi tadi.