
KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menggesa Kementerian Kewangan campur tangan dalam isu bayaran balik kepada mangsa penipuan pelaburan yang melibatkan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Beliau berkata daripada 20 mangsa penipuan pelaburan BSN di Kuching yang mendapatkan bantuannya pada Disember tahun lalu ketika penipuan itu didedahkan, setakat ini 14 mangsa telah menerima bayaran balik penuh daripada pihak bank. Empat lagi menerima bayaran balik sebahagian, manakala dua mangsa masih belum menerima sebarang bayaran balik.
Menurut Chong, penipuan pelaburan yang didedahkannya pada awal Disember tahun lalu melibatkan beberapa bekas pekerja BSN yang menipu pelanggan dengan memujuk mereka melabur dalam apa yang didakwa sebagai dana amanah pelaburan BSN.
“Apabila pelanggan bersetuju untuk melabur, mereka diminta menyerahkan wang tunai sebagai deposit ke dalam dana amanah tersebut. Walaupun wang tunai itu diserahkan kepada pekerja bank di dalam premis bank, pekerja yang tidak bertanggungjawab itu telah menyalahgunakan wang tersebut dan tidak memasukkannya ke dalam dana amanah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua 20 mangsa terbabit mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM2.68 juta, dengan kira-kira RM430,000 masih belum dibayar balik.
Menurutnya, BSN menolak untuk membayar balik sebahagian daripada wang yang disalahgunakan dengan alasan sumber wang tersebut tidak dapat dibuktikan dikeluarkan daripada akaun bank dan oleh itu dianggap mencurigakan.
“BSN menetapkan syarat bahawa bagi melayakkan wang itu dianggap sebagai sumber yang tidak mencurigakan dan layak menerima bayaran balik, mangsa perlu membuktikan bahawa wang tersebut dikeluarkan daripada akaun bank dalam tempoh satu bulan sebelum tarikh penyelewengan berlaku,” katanya.
Chong turut memberikan contoh seorang pengusaha makanan yang mempunyai beberapa premis di pusat beli-belah di Kuching yang dinafikan bayaran balik penuh kerana kira-kira RM12,000 daripada wang pelaburannya merupakan kutipan harian perniagaan dan bukan daripada pengeluaran akaun bank.
Beliau berkata, semalam sepasang suami isteri yang menggunakan lebihan wang tunai daripada perniagaan mereka untuk melabur dalam skim pelaburan BSN turut dinafikan bayaran balik dan telah mendapatkan bantuannya untuk menuntut semula kerugian mereka.
“Bagi BSN, seolah-olah menjadi satu kesalahan jika seseorang menyimpan wang tunai di rumah atau di pejabat. Jika wang itu tidak dikeluarkan daripada akaun bank dalam tempoh 30 hari sebelum penyelewengan berlaku, ia dianggap sebagai wang mencurigakan dan tidak sah, lalu BSN tidak akan membayar balik wang yang telah disalahgunakan itu,” katanya.
Chong menyifatkan alasan yang diberikan oleh pihak bank untuk menolak bayaran balik kepada mangsa sebagai sangat tidak munasabah.
“Perlu ditegaskan bahawa kewajipan undang-undang bank untuk membayar balik kepada pelanggan bagi penipuan yang dilakukan oleh pegawai bank dalam urusan perniagaan bank adalah berasingan dan tidak berkaitan dengan sumber wang pelanggan,” katanya.
Beliau menambah bahawa walaupun sumber wang itu mencurigakan, perkara tersebut sepatutnya disiasat oleh pihak polis dan bukan dijadikan alasan oleh pihak bank untuk melepaskan tanggungjawab membayar balik kepada mangsa.
“Saya menggesa Kementerian Kewangan supaya campur tangan kerana BSN pada asasnya adalah bank milik kerajaan dan tidak sepatutnya dibenarkan mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan cara sedemikian,” katanya.
Oleh Connie Chieng