
PAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pakan berhampiran Simpang Wak, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, mangsa yang berumur 59 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan tersebut.
“Pihak kami dimaklumkan berkenaan kemalangan maut tersebut sekitar 10.30 pagi tadi.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dengan sebuah lori rigid jenis Nissan yang membawa muatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori rigid dalam perjalanan dari arah Bintangor menuju ke Pakan melalui Jalan Pakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, apabila sampai di Jalan Pakan berhampiran Simpang Wak, pemandu lori rigid memandu lurus dan mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah bertentangan, tiba-tiba masuk ke laluan lori rigid dan melanggar di bahagian tayar sebelah belakang kiri ketika pemandu lori rigid cuba mengelak ke kanan jalan.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabas di bahu jalan dan mengalami kecederaan di kepala.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pakan.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Earl Anek