
BINTANGOR: Program Singgah Sahur Ramadan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menjadi platform mempererat hubungan antara pengurusan tertinggi dan anggota bomba dalam suasana penuh semangat kebersamaan.
Program yang diadakan sekitar 4.00 pagi semalam turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, PKPjB Jamri Masran.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin bersama barisan penyelia serta anggota BBP Bintangor.
Menurut Mahmudin, penganjuran program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga bomba berkumpul dan bersahur bersama, malah turut memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota bomba.


“Program ini juga mencerminkan semangat kekeluargaan yang menjadi antara kekuatan utama dalam organisasi JBPM.
“Pengarah JBPM Sarawak turut meluangkan masa memasak juadah sahur untuk dinikmati bersama anggota BBP Bintangor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, solat subuh secara berjemaah turut diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian program bagi menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan dalam kalangan warga bomba.
“Beliau turut menyampaikan amanat ringkas kepada anggota BBP Bintangor yang menekankan kepentingan semangat kerjasama, kebajikan dan kepimpinan dalam kalangan warga JBPM,” katanya.
Oleh Earl Anek