KUCHING: Kerjaya sebagai Juruukur mempunyai masa depan yang sangat cerah.
Hal ini didedahkan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Abdullah Julaihi pada Majlis Penutupan Program Cabaran Kreativiti Dekorasi Kek SCSICA dan Sesi Perkongsian Profesion Jurukur: Inovasi dan Transformasi bersempena dengan Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Tahun 2020 di sebuah hotel terkemuka, semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Dr. Sabariah Putit.
Katanya, dengan inovasi berterusan, bukan sahaja di pihak industri, malah dalam JTS sendiri, bidang survei ini menjanjikan masa depan yang cerah untuk semua.
“Kerjaya sebagai jurukur kurang diberikan pendedahan berbanding profesion teknikal lain.
“Sebagai contoh, seperti bidang jurutera dan arkitek walaupun peluang pekerjaan sangat besar seiring dengan perkembangan dan pembangunan pelbagai sektor seperti pembangunan hartanah, infrastruktur dan pembangunan fizikal lain di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, pelbagai kaedah pengukuran atau inovasi dan teknologi baharu diperkenalkan untuk memudahkan pengukuran bagi memperkukuhkan kejituan dan ketetapan pengukuran.
“Oleh itu, JTS berkolaborasi bersama Politeknik Kuching Sarawak dalam jurusan Diploma Geomatik untuk pendedahan kepada pelajar mengenai kerjaya sebagai Juruukur yang telah melalui banyak transformasi,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada lapan kumpulan dari JTS yang akan berentap pada ‘Sarawak Civil Service Innovation Convention Award (SCSSICA)’ 2020 pada 14 hingga 16 Oktober ini iaitu Knights of Batang Lupar (Sri Aman), V-12 (Serian), Innovative Q9 (Bintulu), Innotech Q9 (Bintulu bersama BDA), Evolve 8 (Samarahan), 4 Quest Reborn (Miri), Lands Tahai Q (Limbang) dan Accurate (Mukah).
Oleh Nur Ain Otsman