
DUBAI: Pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan amaran mudah alih hari ini bagi memberi amaran kepada penduduk mengenai ancaman misil yang berpotensi dan menasihati mereka supaya mencari perlindungan, lapor Xinhua.
Menurut amaran yang dihantar oleh Kementerian Dalam Negeri UAE, penduduk dinasihatkan segera berlindung di bangunan yang selamat dan menjauhi tingkap, pintu dan kawasan terbuka.
Orang ramai juga dinasihatkan menunggu arahan lanjut dan mengikuti kemas kini rasmi.
Sementara itu, lapangan terbang di UAE sebahagiannya menyambung operasi penerbangan pada Ahad. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum (DWC) telah menyambung operasi terhad, manakala lapangan terbang di Abu Dhabi, Sharjah, Ras Al Khaimah dan Fujairah beroperasi dengan bilangan penerbangan yang dikurangkan. Akses ke terminal dihadkan kepada penumpang dengan tempahan yang disahkan, menurut pihak pengurusan lapangan terbang.
Penerbangan utama UAE, termasuk Emirates, Etihad Airways, flydubai dan Air Arabia, telah menyambung bilangan penerbangan terhad dan menasihati penumpang untuk menyemak status penerbangan mereka kerana jadual masih tertakluk kepada perubahan.
Pada Sabtu, operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang UAE digantung sementara kerana kebimbangan keselamatan serantau tetapi secara beransur-ansur disambung kemudian pada hari yang sama.
Konsulat Jeneral China di Dubai mengesahkan bahawa beberapa syarikat penerbangan, termasuk Air China, China Southern Airlines, China Eastern Airlines, dan Emirates, bersedia menyambung penerbangan antara Dubai dan bandar di China termasuk Beijing, Shanghai, dan Guangzhou bagi membantu penumpang yang terperangkap. Beberapa penerbangan yang disahkan dijadualkan beroperasi pada 8 Mac.
-Bernama