KUALA LUMPUR: Seramai 1,128 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), akan balik kampung dalam tempoh 24 jam bermula malam Isnin lalu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 863 pelajar akan dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam Isnin lepas, manakala 265 pelajar akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam ini.
“Proses penghantaran pulang itu melibatkan sembilan universiti, 49 buah bas, ke 17 destinasi.
“Bas akan disanitasi tiga jam sebelum bertolak ke destinasi, selain bagasi yang dibawa pelajar terbabit juga akan disanitasi,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini semalam.
Beliau berkata, setibanya pelajar di 租rop-off・ point sekitar jam 9 hari ini, hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar tersebut, manakala bagi mereka yang tiada kenderaan, pihak barisan hadapan akan menghantar pelajar terus ke rumah masing-masing.
Ismail Sabri berkata, makan-minum para pelajar tersebut akan disediakan semasa perjalanan.
Dalam pada itu beliau berkata, penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah pula akan dilakukan bermula 1 Mei ini.
Ismail Sabri sebelum ini menyatakan penghantaran pulang itu dijangka membabitkan 85 peratus atau 53,000 pelajar, dengan kerajaan terus menyediakan makan-minum 15 peratus yang memilih untuk tidak pulang.
Isnin lalu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan menyebut, pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke kampung mereka yang juga terletak dalam zon hijau. – BERNAMA