
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan kerja penyelenggaraan kira-kira RM90,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 1.00 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar bandar raya ini.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2025 dengan mengemukakan dokumen pesanan kerajaan, invois dan sebut harga syarikat yang mengandungi butiran palsu.
“Ia membabitkan pembekalan dan kerja-kerja naik taraf serta penyelenggaraan jabatan tempatnya bekerja. Suspek juga disyaki membuat lantikan terus kepada syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.
-Bernama