
BINTANGOR: Usaha mempertingkat kemudahan infrastruktur luar bandar di Parlimen Sarikei terus diperkasakan apabila beberapa projek penambahbaikan jalan di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat (PMR) 2025 dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna.
Antara projek yang dilaksanakan melibatkan kerja penambahbaikan serta pembinaan jalan konkrit di beberapa lokasi termasuk Jalan Su Hock Gung, Jalan Wong Soon Soon, bahagian Jalan Chung di Sungai Tulai dan Jalan Ting Wui Hee di bahagian Jalan Kai Sian.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata projek tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dalam menjalankan aktiviti harian.
“Projek tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan dalam aktiviti harian mereka.
“Inisiatif ini mampu menyokong perkembangan sosioekonomi masyarakat setempat dengan menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan kawasan pedalaman secara berterusan.
Hadir selaku wakil Tiong Sii bagi menyaksikan serah tapak projek tersebut pada semalam ialah Wong Soon Mee.
Oleh Earl Anek