Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Penerbangan pertama bawa rakyat Singapura terkandas di Asia Barat, selamat tiba
  • GLOBAL

Penerbangan pertama bawa rakyat Singapura terkandas di Asia Barat, selamat tiba

Utusan Sarawak 4 hours ago
AHLI keluarga bersatu semula selepas penerbangan pertama ke Singapura dari Dubai sejak perang Iran mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 5 Mac 2026. Foto agensi

SINGAPURA: Penerbangan komersial pertama membawa rakyat Singapura yang terkandas di Asia Barat susulan konflik berterusan, tiba di Singapura pada pagi Khamis.

Penerbangan Emirates EK314 berlepas dari Dubai ke Singapura sekitar 9.00 malam waktu tempatan pada 4 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi kira-kira 8.15 pagi Khamis, lapor CNA.

Menurut kemas kini perjalanan yang disiarkan di laman web Emirates, syarikat penerbangan itu terus mengendalikan jadual penerbangan terhad, walaupun semua penerbangan berjadual Emirates ke dan dari Dubai masih digantung sehingga 7 Mac berikutan penutupan ruang udara di seluruh rantau itu.

“Kami memberi keutamaan kepada pelanggan yang membuat tempahan lebih awal untuk menaiki penerbangan terhad ini. Emirates terus memantau keadaan semasa dan kami akan menyesuaikan jadual operasi kami sewajarnya,” menurut syarikat penerbangan itu.

Pada Rabu, Kedutaan Singapura di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral di Dubai menasihatkan rakyatnya di Emiriah Arab Bersatu supaya mendapatkan tiket penerbangan daripada Emirates dan Etihad Airways untuk meninggalkan negara itu.

Kementerian Luar Singapura serta perwakilan negara itu di Asia Barat kini menjalankan tinjauan bagi menilai minat rakyat Singapura di rantau berkenaan untuk berlepas dengan bantuan susulan penutupan lapangan terbang yang berterusan.

“Harap maklum bahawa ini hanyalah tinjauan untuk menilai minat bagi pelepasan dengan bantuan, dan bukan pengesahan bahawa operasi pemindahan akan dilaksanakan,” menurut mereka.

Mereka turut memaklumkan bahawa semua kos perjalanan seperti tiket penerbangan, pengangkutan darat, dokumen perjalanan, visa dan penginapan sementara akan ditanggung oleh para pengembara sendiri. – Bernama

Continue Reading

Previous: Jumlah korban tanah runtuh di tapak perlombongan DR Congo meningkat
Next: Indonesia runding mengenai dua kapal tangki Pertamina di Selat Hormuz

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.