BINTULU: Pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) rumah panjang juga kampung disarankan untuk menubuhkan Biro Pendidikan.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, langkah tersebut untuk memastikan pelajar sentiasa menitik-beratkan soal pelajaran penduduk masing-masing.
“Lantiklah daripada mereka yang mempunyai pendidikan dari rumah panjang atau kampung untuk memimpin biro pendidikan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perlancaran Program Permuafakatan Ibubapa dan Guru dan Perlancaran Koperasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit bertempat di Rh Peter Bansa, Tatau, semalam.
Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus memaklumkan bahawa menerusi biro terbabit akan menyuntik semangat penduduk kampung untuk sentiasa mengutamakan pendidikan.
“Hantar anak-anak ke sekolah hingga ke peringkat tertinggi seperti sehingga berjaya mendapatkan segulung ijazah sama ada Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau sehingga PHD”
“Begitu juga, yang tidak berjaya melanjutkan perlajaran ke peringkat tersebut hantar mereka mengikuti kursus kursus atau sijil sijil kemahiran,” katanya.
Terdahulu, Guru Besar SK Kelawit, Janudin Rahman berkata, program tersebut tidak dapat dibuat di sekolah kerana mengikut arahan dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang tidak membenarkan pihak luar datang ke sekolah untuk sesuatu program sempena PKPP Covid-19.
Sehubungan itu beliau mengumumkan geran MRP sebanyak RM39 ribu kepada JKKK dan RM10 ribu kepada Biro Wanita Rh Peter Bansa manakala RM10 ribu diperuntukkan kepada SK Kelawit.
Oleh Ellie Edward