LONG LAMA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, mereka berasa bertuah kerana Perpustakaan Long Lama, Telang Usan telah dipilih sebagai Pusat Komuniti Digital (PKD) yang telah dilancarkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Tun Haji Openg.
Katanya, ini merupakan satu sejarah yang penting dan membawa Long Lama maju setapak lagi dalam usaha kerajaan membawa kemajuan yang menyeluruh untuk penduduk Sarawak.
Tegas Dennis, inisiatif ini adalah kerjasama antara Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak ( MLGH), Sarawak Multimedia Authority ( SMA), Sarawak Centre of Performance Excellence ( SCORE) dan Pustaka Negeri Sarawak untuk melaksanakan 42 Pusat Komuniti Digital di seluruh negeri Sarawak.
“Ini adalah salah satu program untuk mempersiapkan kesediaan masyarakat negeri ini dalam pelaksanaan inisiatif ekonomi digital negeri dan membantu mereka melalui kebolehaksesan teknologi, akses kandungan digital, literasi digital dan program komuniti lebih lagi komuniti yang tersangat di pedalaman seperti Telang Usan Ulu Baram,” katanya.
Ujar Dennis, objektif pelaksanaan PKD adalah untuk memperkukuhkan lagi usaha kerajaan menghasilkan komuniti bermaklumat, berpengetahuan dan berdaya saing melalui program dan aktiviti digital.
“Tumpuan akan kita beri khusus kepada pelajar sekolah untuk didedah tentang perkara ini dan telah pun kita laksanakan di SMK Long Lama,” katanya, ketika menyampaikan ucapan di Majis Pelancaran Rasmi Pusat Komunti Digital Long Lama di sini, semalam.
Katanya, PKD adalah sebagai pusat pembelajaran bagi menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh kemahiran untuk kakitangan kerajaan dan lebih lagi bagi komuniti tempatan melalui latihan dan aktiviti yang pusat adakan di sini ataupun dalam program ‘outreach’ menjangkau komuniti yang jauh di pedalaman.
Selain itu, jelasnya, ia boleh mengurangkan jurang pengetahuan antara bandar dan kawasan luar bandar seperti Telang Usan melalui aksesibiliti dan inklusif sistem digital yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak.
“Ada sesetengah pihak sering kali menuduh Kerajaan Sarawak tidak berusaha membangunkan aspek ini pada komuniti luar bandar tetapi yang sebenarnya usaha kerajaan itu ada dan sedang berterusan,”.
“Melalui pelaksanaan PKD ini, maka kita berharap PKD Long Lama dapat dijadikan sebagai Pusat Platform Komuniti Digital, Pusat Pembangunan Kemahiran dan Bakat,” tegasnya.
Dengan ini, Dennis menyaran komuniti Penan dan yang lain untuk menjadikan pusat tersebut untuk mencari tempat melanjutkan pendidikan dan mencari pekerjaan dengan menggunakan internet yang ada.
Dennis berharap pusat ini menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan masyarakat setempat, di mana pusat ini juga sebagai mentor dalam pelaksanaan program, pusat mesyuarat belia dan komuniti, kemudahan kerja atau seminar, kemudahan pembelajaran sepanjang hidup.
Selain itu tambahnya, pusat berkenaan menyediakan hubungan internet secara percuma untuk penduduk kurang mampu.
“Saya menyaran semua ahli majlis, ketua masyarakat, sekolah, masjid, gereja memainkan peranan untuk menyebarluaskan kemudahan Pusat Komuniti Digital Long Lama kepada komuniti di Long Lama malahan kepada komuniti atau kampung berdekatan supaya menggunakan kemudahan yang telah kerajaan sediakan sebagai platform digital,” tegasnya
Tambahnya, PKD sesuai dengan kehidupan sekarang ini yang mana kemudahan digital atau internet menjadi kegunaan hidupan harian.
“Sesuai dengan visi pusat komuniti Digital Sarawak sama-sama kita memperkukuhkan kemahiran dan keupayaan bakat untuk membentuk sebuah komuniti lestari melalui kemudahan Pusat Komunti Digital Long Lama,” harapan Dennis.
Turut hadir di majlis tersebut, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Penghulu Desmond Yap Cheng Siang, Kapitan Yeo Kee Siang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Simpson Njock Lenjau, Kaunselor Philip Yap, Ahli Majlis Kaunselor Jok Eng Jok, Ahli Majlis Kaunselor Jok Ngau dan Setiausaha Majlis Daerah Marudi Puan Lolita Jaime Nicholas.
Oleh Jiku Juguong