
LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Segulai Sejalai: Majlis Perasmian Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berlangsung di Rumah Lika, Lidong Baru, semalam.
Dalam majlis tersebut, Roy Gingkoi mengumumkan penyaluran peruntukan berjumlah RM100,000 yang dikhususkan bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan perumahan tersebut.

Projek infrastruktur ini bertujuan untuk meningkatkan sistem saliran yang lebih efisien, sekali gus menjamin kemudahan serta kualiti hidup yang lebih baik bagi seluruh penduduk di Rumah Lika.
Selain pembangunan fizikal, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyokong pengurusan pentadbiran setempat.
Biro Wanita Rumah Lika turut menerima peruntukan sebanyak RM5,000 sebagai galakan untuk memperkasakan pelbagai aktiviti serta program pembangunan komuniti khususnya melibatkan golongan wanita di kawasan berkenaan.

Roy Gingkoi turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuai Rumah Lika serta seluruh warga rumah panjang tersebut atas jemputan dan sambutan mesra yang diberikan sepanjang majlis berlangsung.
Beliau berharap agar semangat ‘Segulai Sejalai’ terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat bagi memastikan agenda kemajuan dan kesejahteraan bersama dapat dicapai dengan jayanya.
Oleh Adi Safarman