
SARIKEI: Penubuhan bilik digital di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Tak merupakan satu langkah strategik dalam mempersiapkan murid menghadapi cabaran masa depan yang semakin bergantung kepada teknologi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata kemudahan tersebut amat signifikan dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran selaras dengan perkembangan era digital masa kini.
Katanya, bilik digital tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada murid untuk menguasai teknologi, malah membantu meningkatkan daya saing mereka dalam menghadapi cabaran pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan.
“Dengan adanya kemudahan ini, murid-murid dapat didedahkan lebih awal kepada teknologi serta menguasai kemahiran digital yang amat penting bagi meningkatkan daya saing mereka pada masa hadapan.

“Ia sekali gus menjadi asas kukuh untuk melanjutkan pelajaran dan memasuki sektor pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Hari Terbuka Sekolah dan perasmian bilik digital SJKC Su Tak, semalam.
Tambahnya, dengan komitmen berterusan para guru dan sokongan padu daripada ibu bapa serta murid-murid diyakini akan terus mencapai kecemerlangan dalam persekitaran pembelajaran yang lebih moden dan kondusif.
Tiong Sii turut menekankan bahawa pembangunan infrastruktur yang baik memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan pendidikan, termasuk kemudahan jalan penghubung dari Sungai Pasi ke Tanjung Manis.
“Kemudahan infrastruktur tersebut telah meningkatkan aksesibiliti, merangsang pembangunan setempat serta menarik pertambahan penduduk ke kawasan Sarikei.
“Pertambahan populasi setempat diyakini akan turut meningkatkan jumlah kemasukan murid ke sekolah SJKC Su Tak sekali gus memperkukuh potensi pembangunan pendidikan di kawasan ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan yang berwawasan dalam memastikan kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi negeri.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada SJKC Su Tak sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Sarikei.
Tiong Sii berharap usaha memperkasa pendidikan melalui penyediaan kemudahan moden seperti bilik digital akan terus dipergiatkan bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran serta mampu bersaing di peringkat global.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Oleh Earl Anek