SAINT MARTIN VESUBIE (PERANCIS): Pasukan penyelamat Perancis dan Itali meningkatkan operasi pencarian, semalam, selepas banjir menyebabkan beberapa perkampungan di wilayah pergunungan sempadan terputus hubungan, selain kemusnahan teruk serta mengorbankan sekurang-kurang empat nyawa.
Ribut, hujan lebat dan banjir kilat melanda kawasan terbabit, sekali gus menenggelami jalan raya serta menghanyutkan rumah, malah mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
Agensi berita ANSA dan media Itali yang lain melaporkan, pasukan kecemasan menemui sekurang-kurang empat mayat di Liguria, Itali, semalam.
Pihak penyelamat daripada Itali dan Perancis bekerjasama untuk cuba mengenal pasti mangsa, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka terkorban akibat banjir atau sebab lain.
Dalam pada itu, pasukan Perancis masih berusaha mencari lapan mangsa dilaporkan hilang selepas saksi melihat mereka dihanyutkan arus banjir.
Banjir di sebuah perkampungan Perancis terletak berdekatan sempadan Itali, Breil-sur-Roya pula menyaksikan kediaman penduduk ditenggelami lumpur, manakala kenderaan terbalik dan tersangkut di dasar sungai.
Usaha menyelamat juga ditumpukan di lembah Roya dengan kira-kira 1,000 anggota bomba bersama bantuan pihak tentera dan helikopter, meneruskan semula pencarian mangsa serta membantu penduduk selepas kediaman mereka musnah atau terputus hubungan.
Taufan Alex membadai pantai barat Perancis, Khamis lalu, dengan membawa angin kencang dan hujan lebat ke seluruh negara itu, sebelum menuju ke utara Itali.
Itali mengesahkan dua mangsa terkorban, kelmarin, meliputi seorang sukarelawan bomba yang menyertai operasi menyelamat dan seorang lelaki selepas kenderaannya dihanyutkan arus deras.
Perancis juga mengumumkan dua korban, termasuk seorang pengembala selepas mayatnya ditemui di sungai berhampiran sempadan.
Anggota bomba kemudian mengumumkan seorang lelaki ditemui maut di dalam keretanya di perkampungan Saint-Martin-Vesubie. – AFP