Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Mi goreng, nasi lemak Malaysia tawan hati warga Cebu
  • GLOBAL
  • TEMPATAN

Mi goreng, nasi lemak Malaysia tawan hati warga Cebu

Utusan Sarawak 7 hours ago

CEBU CITY (Filipina): Pengalaman bekerja di Malaysia hampir 20 tahun lalu mendorong Ban Ismail, 45, memperkenalkan hidangan seperti mi goreng dan nasi lemak di Bandar Cebu, Filipina.

Pemilik BJ’s Creamyrice Warung Nasi Lemak di Sugbo Sentro IT Park itu berkata pengalaman tersebut membantunya memahami rasa dan cara penyediaan makanan Malaysia.

“Saya pernah tinggal dan bekerja di Malaysia, biasa makan makanan Malaysia, jadi saya cuba buat ikut rasa yang saya ingat,” kata warga Filipina itu ketika ditemui Bernama di gerainya baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Ban berkata pada peringkat awal warga tempatan tidak berminat kerana menganggap mi goreng tidak jauh bezanya dengan pancit, iaitu hidangan mi tradisional Filipina yang digoreng bersama sayur dan daging.

“Mereka kata sama saja dengan pancit. Seorang cuba, lepas itu dia bawa kawan, sekarang kadang-kadang tidak cukup,” katanya.

Mi goreng kini menjadi menu paling laris dengan jualan antara 80 hingga 90 pinggan sehari.

Bagi memastikan rasanya hampir menepati resipi Malaysia, beliau menggunakan ramuan yang serupa termasuk kicap cap ayam yang terkenal di Sabah.

“Kalau guna kicap biasa di sini, rasa lain. Jadi saya guna kicap cap ayam itu, baru ada rasa Malaysia,” katanya.

Nasi lemak turut mendapat tempat dalam kalangan pelanggan, namun Ban mengakui berdepan cabaran untuk menghasilkan sambal seperti di Malaysia.

“Cili besar merah susah dapat yang betul-betul masak kerana banyak yang hijau, jadi saya perlu mengolah sedikit dengan campur tomato,” katanya.

Beliau menjual mi goreng special pada harga 149 peso (kira-kira RM12.70) dan mi goreng biasa 65 peso (sekitar RM5.50).

Nasi lemak ayam pula dijual pada harga 130 peso (kira-kira RM11) dan nasi lemak ikan 135 peso (RM11.50).

Bagi nasi goreng, nasi goreng seafood ditawarkan pada harga 110 peso (RM9.50), manakala nasi goreng Pattaya dan nasi goreng kampung masing-masing 99 peso (sekitar RM8.50).

Gerai yang beroperasi lebih setahun di lokasi sekarang itu dibuka dari 10.00 pagi hingga 4.00 pagi setiap hari dengan dua pekerja membantu operasi.

“Siang mereka jaga, sekitar 10.00 malam saya datang masak sendiri,” katanya.

Walaupun kos sewa dan utiliti mencecah sekitar 20,000 peso (kira-kira RM1,700) sebulan dan keuntungan tidak besar, Ban berkata beliau tetap berpuas hati kerana sebagai Muslim dapat menyediakan pilihan makanan halal kepada komuniti setempat.

Kini, mi goreng dan nasi lemak yang dihasilkannya berasaskan pengalaman di Malaysia, semakin diterima pelanggan tempatan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Makkah alami fenomena penjajaran bulan di atas Kaabah malam ini
Next: Nigeria ubah tarikh pilihan raya presiden 2027 kerana Ramadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.