

KUCHING: Lapan individu ditahan dalam lima serbuan yang dilaksanakan Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Chiller dari 23 hingga 26 Februari lalu dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM10.74 juta.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai, berkata operasi tersebut dijalankan di Daerah Saratok, Miri, Sibu dan Samarahan.
Menurutnya, di Saratok, lelaki tempatan berusia 34 tahun telah ditahan dan sebanyak 7,659.4 kilogram produk sejuk beku bersama dua kemudahan stor sejuk beku dirampas dengan nilai keseluruhan RM1,373,518.62.


“Di Miri, dua lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 33 tahun turut ditahan bersama rampasan 6,277 kilogram produk sejuk beku serta pelbagai peralatan pemprosesan termasuk jentera pengangkat (forklift) dan kenderaan, dengan nilai keseluruhan RM1,161,159,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, di Sibu dan Samarahan pula, lima individu berusia antara 32 hingga 57 tahun ditahan dengan rampasan sebanyak 37,257 kilogram pelbagai jenis produk sejuk beku, stor sejuk beku, jentera pengangkat serta kenderaan, bernilai RM8,205,622.40.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 9(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar membeli dan menggunakan produk sejuk beku yang sah serta selamat. Peniaga juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan perniagaan mempunyai permit serta kelulusan yang sah.
Oleh Connie Chieng