Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Tiga jurulatih PALAPES didakwa sebabkan kematian Syamsul Haris
  • MAHKAMAH

Tiga jurulatih PALAPES didakwa sebabkan kematian Syamsul Haris

Utusan Sarawak 5 hours ago
TIGA jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang Pegawai Kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tahun lepas. Ketiga-tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia berkenaan, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, (dua, kanan) Pegawai Waran Mohd Norbuang Ghani, 41, (tengah) dan Kapten Muhammad Bahaudin Abd Rashid, 30, (dua, kiri) bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan. Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut. Foto BERNAMA

KOTA TINGGI: Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang Pegawai Kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tahun lepas.

Ketiga-tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia berkenaan, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Pegawai Waran Mohd Norbuang Ghani, 41, dan Kapten Muhammad Bahaudin Abd Rashid, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 Julai tahun lepas antara pukul 2.00 petang hingga 3.00 petang di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor Abdul Ghafar Abdul Latif dan Nor Afiqah Musa memaklumkan Jabatan Peguam Negara mengesyorkan jaminan RM50,000 dan seorang penjamin sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan. 

Hakim Hayda Faridzal yang menetapkan jaminan RM25,000 pada awalnya, kemudian menetapkan  RM20,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah, setelah mendengar rayuan tertuduh.

Mohd Azmi, yang baru menimang cahaya mata ketiga pada 23 hari lepas dalam rayuannya memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan kesemua mereka tidak mampu serta tidak mempunyai masalah displin dalam tempoh berkhidmat. 

Sepanjang tempoh perkhidmatan, Mohd Azmi yang telah 21 tahun berkhidmat dalam ATM, berkata kesemua mereka juga tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib, malah ada yang perlu menanggung anak dan isteri yang sedang hamil.

“Kejadian yang berlaku masing-masing tidak minta, Yang Arif,” katanya. 

Mahkamah menetapkan 13 April ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Syamsul Haris, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai tahun lepas setelah menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram. Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 26 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih PALAPES itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Bedah siasat kedua dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan jenazah dikebumikan semula pada hari yang sama.

Pada 2 Disember tahun lepas, AGC mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendengar taklimat berhubung hasil siasatan yang dijalankan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Kematian pelatih PALAPES: Tiga jurulatih dituduh hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.