
BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu menahan 10 lelaki termasuk dua warga asing disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan serta penyalahgunaan dadah menerusi operasi yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, tangkapan melibatkan lapan lelaki warga tempatan dan dua lelaki warganegara Indonesia berusia antara 26 hingga 54 tahun.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Seorang suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.
“Manakala lapan suspek lain disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali jika sabit kesalahan.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(2) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Sementara itu, kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan selama dua tahun.
Tambahnya, tangkapan tersebut merupakan usaha berterusan pihak polis dalam membanteras penyalahgunaan dadah selain mencegah kegiatan jenayah di Daerah Bintulu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi membantu siasatan lanjut.