SERIAN: Para belia Bidayuh diseru untuk melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti tempatan tidak mengira latar belakang akademik dan profesional bagi mencorak kepimpinan masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) adalah salah satu platform terbaik dalam membina kepemimpinan dan kemahiran organisasi para belia di negeri ini.
“Sebagai minoriti, kita (Bidayuh) tidak boleh berpecah hanya disebabkan fahaman politik kerana ia akan mengakibatkan kita ketinggalan dalam pembangunan.
“Oleh itu, masyarakat Bidayuh khususnya para belia harus terus memberikan sokongan penuh kepada GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk terus kekal sebagai kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di daerah kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Karnival Sukan Saberkas Peringkat Tebedu sambil merasmikan Dewan Komuniti Kampung Jenan, di sini kelmarin.
Menurut Manyin, meskipun sebilangan besar daerah Bidayuh terletak berdekatan dengan Kuching, banyak pembangunan harus perlu masih perlu dilakukan agar setanding dengan kawasan bandar.
“Hampir 100 peratus wilayah Bidayuh yang meliputi kawasan dari Lundu hingga Serian memiliki bekalan elektrik dan air serta terhubung dengan jalan.
“Namun begitu, masih banyak lagi pembangunan yang harus dilakukan di sini agar boleh menjadi tumpuan penduduk tempatan seperti bandar besar yang lain,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai pilihanraya yang bakal menjelang tidak lama lagi, Manyin menegaskan kepada para belia agar tidak terpengaruh dengan ideolisme yang dibawa oleh pihak pembangkang dan memahami keadaan kerajaan yang sebenar.
Dia berharap para pengundi sekarang mengenal simbol ‘manuk tikuan’ (kata Bidayuh untuk burung enggang), dan menyokong calon GPS tanpa mengira parti komponen GPS mana mereka berasal.
“Pilihan Raya Negeri ke-12 kemungkinan akan diadakan antara November dan awal tahun depan, mungkin Januari, Februari atau Mac, tergantung dengan keadaan semasa.
“Kini terdapat lapan kerusi yang dianggap mempunyai majoriti Bidayuh iaitu Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.
“Oleh itu, kita harus mempertahankan rentak kemenangan dan menguasai semua kerusi Bidayuh di kawasan ini,” katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tebedu.
Di kesempatan yang sama, beliau turut merasmikan naik taraf dan pelebaran Jalan Kampung Jenan/Pichin sepanjang 11 kilometer yang menelan kos sebanyak RM2 juta.
Beliau turut mengingatkan ketua kampung tempatan untuk terus berusaha melindungi kawasan masing-masing dari Covid-19 kerana wabak itu belum berakhir.
Turut hadir, Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ketua Saberkas Tebedu Dr. Simon Sinang Bada serta Pegawai – Pegawai Kanan Kerajaan Serian.
Oleh Akmal Adib Yusup