Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Rayuan kes projek solar Rosmah ditangguh, mahkamah tetap 3 Mac
  • MAHKAMAH

Rayuan kes projek solar Rosmah ditangguh, mahkamah tetap 3 Mac

Utusan Sarawak 6 hours ago
Datin Seri Rosmah Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor berhubung permohonan supaya Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion, pada 3 Mac, kerana beliau mengalami masalah kesihatan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar membenarkan penangguhan itu selepas peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya sedang bercuti sakit dari 24 hingga 28 Februari.

“Anak guam saya tergelincir (di rumah) namun sempat mengelak daripada terjatuh sepenuhnya. Bagaimanapun, beliau (Rosmah) mengalami kecederaan pada tangan dan lutut,” kata Jagjit.

Menjawab pertanyaan Hakim Azimah sama ada Rosmah dimasukkan ke hospital selepas insiden itu, Jagjit memaklumkan Rosmah telah dinasihatkan untuk berbuat demikian, namun menolaknya.

Hakim Azimah berkata, “Jika beliau tidak dapat hadir ke mahkamah, beliau sepatutnya berada di hospital, bukan di rumah.”

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya K. Mangaiarkarasi menyatakan pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu dan menyerahkan perkara berkenaan kepada budi bicara mahkamah.

Terdahulu, Jagjit memberitahu beliau diarahkan untuk membuat permohonan agar Hakim Nordin dan Che Mohd Ruzima menarik diri atas alasan kedua-dua hakim berkenaan sebelum ini pernah mempengerusikan prosiding lain yang melibatkan Rosmah.

Hakim Nordin mempersoalkan asas permohonan itu: “Jadi hal ini kerana anak guam kamu tidak selesa dengan kehadiran saya? Adakah benar wujud risiko berat sebelah berdasarkan dua kes yang kamu sebutkan? Kamu patut menasihati anak guam kamu.”

Bagaimanapun Jagjit menjawab beliau hanya mengikut arahan anak guamnya.

Hakim Nordin akhirnya menolak permohonan Rosmah.

“Berkaitan permohonan agar saya dan Che Mohd Ruzima menarik diri, kami mendapati tiada risiko berat sebelah. Permohonan ini ditolak,” katanya.

Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan agar Hakim Mohamed Zaini, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya melibatkan projek solar hibrid.

Beliau memfailkan permohonan itu pada saat akhir sebelum Hakim Mohamed Zaini dijadual menyampaikan keputusannya pada 1 September 2022. Dalam permohonan itu, Rosmah mendakwa draf penghakiman dalam kesnya yang didakwa disediakan oleh pihak ketiga, telah dibocorkan sebelum keputusan itu disampaikan.

Pada hari sama, Rosmah, 74, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah itu dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara 30 tahun dikenakan sekiranya gagal membayar denda itu. 

Beliau bagaimanapun diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. – Bernama

Continue Reading

Previous: Serang kakak kandung, wanita dipenjara lapan bulan
Next: Mahkamah tinggi putuskan tuntutan jaminan bank Petronas sah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.